Pusing-pusing, jalan-jalan...


Kerja gila, originally uploaded by rdhanz.

Saya pun tak berapa pasti sama ada untuk berkongsi cerita ini dengan kalian. Ia menarik untuk ditulis, tetapi ada rasa tidak sedap hati untuk berkongsi dengan umum.

Jika anda boleh membaca artikel ini, maka seeloknya baca sampai habis. Mana tahu tiba-tiba rasa tidak sedap hati itu menguasai diri saya dan saya akhirnya mengambil keputusan untuk buang artikel ini dari blog ini.

Ceritanya bermula apabila kawan saya di Malaysia berminat untuk memiliki buku Tokoh-Tokoh Islam yang pernah saya tulis tentangnya tempoh hari. Maka, bermula semalam, saya usahakan untuk mengepos buku ini ke Malaysia.

Pagi ini, selesai urusan pemeriksaan darah untuk pendaftaran kuliah, saya ke salah satu daripada dua cawangan Egypt Post di sekitar Darasah dan Husain. Bila saya serahkan sampul surat berisi buku tersebut kepada pegawai di pejabat pos tersebut, maka perbualan ini berlaku:

"Ruh fin?" (Ke mana?)

"Maliziya." (Malaysia)

"Genih wa nus." (LE1.50)

"Dah taiil!" (Ni berat ni!)

"Maliziya? Aywah, genih wa nus." (Malaysia? Ya, LE1.50)

Lalu saya diberikan setem Mesir bernilai LE1.50. Saya tetap membayar dan mengambilnya walau dalam hati tetap sangsi dengan kos penghantaran buku tersebut ke Malaysia hanya LE1.50. Paling tidak, timbanglah dulu.

Maka saya bergegas ke pejabat pos yang kedua. Kebetulan ia hampir dengan stesen bas Darasah, tempat menunggu bas untuk pulang ke Asyir. Selesai beratur, pegawai di situ melihat-lihat surat saya sambil mengimbangnya dengan tangannya.

Dia pun sebut, "Ini 275 gram." Haha... Gurau je. Dia tak cakap macam tu. Kalau betul dia cakap pun, saya tak percaya. Dia suruh saya pergi ke kedai kacang yang terletak di seberang jalan untuk membuat timbangan. 270 gram berat surat tersebut. Namun, sengaja saya genapkan menjadi 300 gram. Lebih tak apa. Jangan kurang. Nanti tak sampai pulak surat ni.

Setelah ke hulu dan ke hilir, maka pegawai tersebut menghampiri saya dan memberitahu bahawa saya perlukan setem bernilai LE25.30. Walaupun mahal, tapi pada saya yang ini lebih munasabah berbanding LE1.50. Saya bayar harga setem tersebut dan dia menghulurkan saya 25 keping setem bernilai LE1 setiap satu dan sekeping setem bernilai LE0.30.

"Kalau jilat, mau kering air liur ni..." fikir saya.

Mujur ada air disediakan untuk mencairkan gam di belakang setem-setem tersebut. Selesai melekatkannya, saya ambil gambar sebelum memasukkannya ke dalam peti pos.

Setibanya di Asyir, saya merancang untuk ke pejabat DHL yang berdekatan kerana ada seorang lagi kawan saya yang berminat dengan buku ini. Setibanya di sana, pekerja di pejabat DHL tersebut menimbang surat saya dan memberitahu saya, "Tultu miah wa khamsun."

Saya sangkakan 350 gram, rupa-rupanya caj untuk penghantaran buku tersebut ke Malaysia melalui kurier DHL bernilai LE350! Mak ai! Padahal buku tu harganya LE20 je... (itupun tak bayar lagi)

Saya berjalan pulang dengan langkah yang longlai. Bukan sebab kecewa, tapi sebab lapar...

Ulasan

  1. ni oleksi setem atau ape ni?????haha

    BalasPadam
  2. Penuh satu row, kan?
    Agak-agak enta, takde ke setem LE2 kat sini?

    BalasPadam
  3. Update: Alhamdulillah, buku ini telah sampai ke tangan penerima selepas 12 hari. Alhamdulillah...

    BalasPadam
  4. Świetna sprawa. Pozdrawiam serdecznie.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hari yang memenatkan

Jenis fi'il dan hukum-hukumnya

Rukun Islam dan rukun Iman